SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman terletak dalam kawasan Kompleks Pendidikan Alor Malai, kira-kira dua kilometer dari pusat Bandar Alor Star. Di Kompleks Pendidikan terdapat lima buah sekolah yang lain iaitu Sekolah Menengah Teknik Jalan Stadium, Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohammad Al-Bukhary,  Sekolah Kebangsaan Haji Mohammad Shariff, Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Halim dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Barathy. Kompleks ini juga menempatkan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah.
Sekolah ini dibuka pada tahun 1966 dengan menumpang aktiviti persekolahannya di bangunan Sekolah Menengah Telok Kechai (Sekolah Menengah Tunku Laksamana) dan Sekolah Menengah Tun Sharifah Rodziah. Pada tahun 1968, sekolah berpindah ke Sekolah Menengah Dato Syed Omar. Pada tahun 1972 barulah sekolah ini mendapat bangunan sendiri seperti yang ada sekarang. Asalnya sekolah ini terdiri tiga blok bangunan dua tingkat, sebuah bengkel seni perusahaan, sebuah kantin dan sederet bangsal basikal. Pada tahun 1983, atas daya usaha pengetua sekolah pada masa itu iaitu Allahyarhan Dato' Azizan bin Haji Taib telah membina bangunan satu tingkat untuk dijadikan bangunan perpustakaan dan pusat sumber. Pada tahun 1966 bangunan ini ditambahkan lagi untuk dijadikan kelas-kelas bagi Pendidikan Khas.Beliau juga telah mengusahakan pembinaan sebuah surau yang tersergam indah siap dibina sepenuhnya pada tahun 1985.  
Pada tahun 2002, bermula sejarah baru Sekolah Menengah Kebangsaan Darulaman dengan pembinaan dua blok bangunan baru berhampiran surau. Dua blok ini menempatkan kelas-kelas, bilik guru dan pejabat sekolah yang baru. Pembinaannya bermula pada awal tahun 2002 dan siap sepenuhnya pada Disember 2002. Atas usaha Puan Hajah Rahinun Mohd. Noor, mulai Februari 2003, pelajar-pelajar Tingkatan Tiga, Empat dan Lima, staf dan guru-guru telah dapat menggunakan blok baru sepenuhnya. Satu majlis bacaan Yassin dan doa selamat diadakan sebelum blok ini diduduki. Pembinaan dua blok ini telah melengkapkan kemudahan di sekolah ini dan sekolah satu sesi dapat dilaksanakan.
Sejak penubuhannya pada tahun 1966-2012, seramai 17 orang pengetua telah menerajui pentadbiran sekolah ini. Pucuk kepimpinan silih berganti, sejarah sekolah ini penuh dengan suka-dukanya. Kini di bawah pentadbiran Puan Zaliha binti Ahmad, suasana sekolah lebih mantap dan pelajar-pelajar lebih berketrampilan. Semoga sejarah manis ini akan berterusan dan kekal selama-lamanya.